16 NOV: Bank Negara Malaysia (BNM) menyerbu 22 premis milik i-Serve Online Mall Sdn Bhd dan syarikat sekutunya di sekitar ibu kota dan Selangor kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan.
BNM dalam kenyataannya, berkata dalam operasi bersepadu yang dijalankan semalam itu sebanyak 45 akaun di tujuh bank dibekukan serta wang tunai keseluruhannya berjumlah RM118.7 juta disita.
“Tindakan diambil berikutan kesalahan dilakukan mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
“Tindakan penguatkuasaan ini diselaraskan oleh Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan BNM sebagai agensi peneraju bersama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan CyberSecurity Malaysia,” katanya yang turut merampas dokumen yang berkaitan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, orang ramai diingatkan mana-mana individu yang menerima deposit tanpa lesen dianggap melakukan kesalahan di bawah Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan.
“Orang ramai juga diingatkan hanya meletakkan deposit atau melabur dengan pihak yang berlesen atau berdaftar oleh pihak berkuasa yang berkenaan.
“BNM dan SC menggesa orang ramai supaya berwaspada apabila melabur dengan syarikat tempatan atau asing yang menawarkan pelbagai peluang pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi,” katanya.