16 NOV: Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) kini dalam peringkat akhir penyediaan Laporan Kajian Semula Perintah Gaji Minimum (PGM) 2020.
Berikutan itu, Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata kerajaan tidak boleh membentangkan kerangka kenaikan kadar upah dalam pembentangan Bajet 2022 baru-baru ini.
Beliau berkata dalam kajian ini, Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara (JTPGN) telah mengadakan perundingan awam dan sesi libat urus dengan wakil majikan, pertubuhan majikan, wakil pekerja, kesatuan sekerja dan orang awam bagi mendapatkan input tentang impak pelaksanaan gaji minimum ke atas sosioekonomi negara.
“JTPGN telah pun selesai menjalankan Kajian Impak dan Kajian Semula PGM 2020. JTPGN akan membentangkan hasil dapatan kajian ini dan membuat syor tentang kadar dan liputan gaji minimum kepada Majlis pada 18 November 2021.
“MPGN sentiasa menggunakan pendekatan seimbang (balanced approach) dengan mengambil kira kepentingan pihak majikan, pekerja dan sebelum mengemukakan syor untuk pertimbangan dan persetujuan kerajaan,” katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2022 di Parlimen hari ini.
Dalam pada itu, Saravanan berkata KSM juga mengambil maklum mengenai cadangan kadar gaji minimum baharu ditetapkan kepada RM1,500.00 sebulan seperti yang dicadangkan oleh beberapa ahli Parlimen.
Katanya, cadangan mengenai pelaksanaan gaji minimum berdasarkan sektor juga perlu diteliti dengan lebih mendalam kerana akan mengakibatkan pelaksanaan dan penguatkuasaan yang lebih kompleks.
Beliau berkata peningkatan gaji minimum sewajarnya dilaksanakan secara berperingkat agar tidak memberi tekanan dan membebankan majikan serta menjejaskan operasi syarikat terutama industri mikro, kecil dan sederhana.
“Dalam menetapkan formula gaji minimum, indikator sosioekonomi meliputi kriteria asas seperti Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dan gaji penengah serta kriteria pelarasan seperti pertumbuhan produktiviti buruh, kadar pengangguran dan perubahan indeks harga pengguna (IHP) turut diambil kira bagi memberi gambaran tentang situasi pasaran tenaga kerja semasa.
“Dua indikator ekonomi yang digunapakai dalam kriteria asas iaitu PGK dan gaji penengah adalah indikator yang menentukan keperluan asas pekerja serta keluarga pekerja dan mengukur keupayaan majikan membayar gaji.
“Bagi kriteria pelarasan, CPI mengambarkan perubahan kepada kos sara hidup. Manakala pertumbuhan produktiviti buruh digunakan sebagai indikator yang mana gaji wajar ditingkatkan selaras dengan peningkatan produktiviti.
“Selain itu, kadar pengangguran sebenar turut diambil kira sebagai satu kawalan supaya peningkatan gaji tidak
mengakibatkan peningkatan kadar pengangguran,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Saravanan berkata kerajaan juga telah bersedia untuk membuka semula kemasukan pekerja asing bagi semua sektor pada masa depan.
Berikutan itu, Saravanan berkata kini sedang dalam peringkat rundingan bersama pihak Indonesia bagi memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) mengenai pengambilan Perkhidmatan Domestik Indonesia (PDI) yang telah tamat pada 30 Mei 2016.
Beliau berkata walaupun perjanjian penggajian dan penghantaran pulang bagi pekerja sektor formal Kerajaan Nepal telah ditandatangani pada 29 Oktober 2018, berlaku kelewatan dalam urusan kemasukan berikutan pelaksanaan PKP.