16 NOV: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan seramai 10,390 atau 89.90 peratus pengundi awal terdiri daripada anggota polis dan tentera serta pasangan mereka selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing, di 31 pusat mengundi awal sempena di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15, sejak jam 8 pagi hingga 5 petang tadi.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata proses undi awal ini telah berlangsung dengan lancar dengan mematuhi Garis Panduan Pencegahan COVID-19 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berkuatkuasa.
Justeru, SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik pada hari ini.
“Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara (MKN), pihak berkuasa tempatan, media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada SPR,” katanya dalam satu kenyataan.