16 NOV: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, mengesahkan bahawa siasatan dalaman mendapati tidak wujud isu kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti didakwa bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, sebelum ini.
Bagaimanapun, Hamzah berkata kes berkenaan akan diserahkan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) bagi memastikan siasatan dilakukan secara lebih telus.
Hamzah berkata Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) juga sudah selesai menjalankan siasatan dari sudut tatatertib dan mendapati tiada unsur rasuah dalam semua urusan kenaikan pangkat anggota dan pegawai PDRM.
Beliau berkata semua isu dibangkitkan mana-mana pihak akan diberikan penelitian sewajarnya berdasarkan laporan dibuat pengadu, selain menegaskan isu dibangkitkan tanpa butiran pengadu, tidak akan dilayan.
“Budaya fitnah atau membentuk persepsi buruk tanpa bertanggungjawab terhadap isu ditimbulkan adalah perbuatan sangat tidak bertanggungjawab.
“Tindakan akan diambil berdasarkan laporan polis yang bersandarkan kepada maklumat dan aduan sahih sahaja dan bukan dalam bentuk surat layang sama ada secara fizikal atau digital.
“Berhubung isu integriti, pelbagai usaha dilaksanakan dalam mengingatkan pegawai supaya memelihara integriti, antaranya melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP), pada 5 November lalu, dan gerakan memperoleh pensijilan Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS), tahun ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2022 di Parlimen hari ini.
Sementara itu, Hamzah berkata, kementerian kekal dengan keputusan semasa kerajaan berhubung pelaksanaan Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) iaitu sehingga 31 Disember ini.
Katanya, ini kerana PATI dan majikan sudah diberi ruang dan masa mencukupi untuk berada di Malaysia dengan cara sah sejak pelaksanaan Pelan Rekalibrasi PATI bermula 16 November lalu.
Beliau berkata, operasi penguatkuasaan berterusan akan dilaksanakan bagi menahan PATI dan majikan yang masih melanggar akta dan peraturan keimigresenan sedang berkuat kuasa.
“Kita juga sedar penutupan sempadan negara serta penangguhan sementara penggajian pekerja asing baharu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020 memberi kesan negatif ke atas pengoperasian industri dan ekonomi secara keseluruhannya.
“Bagi menampung keperluan tenaga kerja asing khususnya dalam sektor dan subsektor tidak mendapat menarik minat tenaga kerja tempatan, kerajaan sudah merangka Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) sebagai antara komponen Pelan Rekalibrasi PATI.
“Ia supaya majikan dapat meregularisasikan PATI serta menggajikan mereka dengan cara sah. Pendekatan ini secara tidak langsung dapat menyokong usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara,” katanya.