17.3% belia di Sabah menganggur
17 NOV: Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), menunjukkan kadar pengangguran golongan belia yang berumur 15 tahun hingga 24 tahun di Sabah bagi tahun 2020 berada pada kadar 17.3 peratus.
Berikutan itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, berkata kerajaan telah mempergiatkan beberapa program bagi mengawal kenaikan kadar pengangguran rakyat secara keseluruhannya agar kualiti hidup dapat dipertingkatkan.
Antara usaha dilakukan termasuklah dengan mengadakan program karnival kerjaya, Program Insentif Pengambilan Pekerja dan program latihan kemahiran semula serta peningkatan kemahiran melalui penyedia latihan yang dilantik.
Kerajaan sentiasa berusaha untuk memperluaskan program latihan pekerjaan atau perantisan bagi peningkatan kemahiran (upskilling), latihan semula (reskilling) dan silang kemahiran (cross-skilling) termasuk kepada golongan belia di Sabah.
“Kerajaan telah menyediakan platform peluang pekerjaan dalam portal MyFutureJobs yang perlu dimanfaatkan oleh setiap pencari kerja terutama golongan belia.
“Selain itu, inisiatif PenjanaKerjaya diperkenalkan bagi menggalakkan majikan membuat pengambilan pekerja baharu dan ditawarkan elaun mobiliti secara one-off sebagai persediaan untuk bekerja,” katanya ketika sesi jawab lisan di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen WARISAN-Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman yang meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan memandangkan kadar pengangguran belia yang tertinggi adalah di Sabah.
Azis meminta KSM menjelaskan apakah adakah kementerian akan memperluaskan program latihan pekerjaan atau perantisan bagi peningkatan kemahiran (upskilling), latihan semula (reskilling) dan silang kemahiran (cross-skilling) di Sabah.
Mengulas lanjut, Awang berkata kerajaan juga melaksanakan program perantisan bagi menggalakkan majikan memberi peluang kerjaya untuk lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun berjumlah 44,843 graduan.
Manakala, perantis yang telah mendapat peluang menjalani perantisan di Sabah pula adalah seramai 1,228 graduan.
“Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) juga menyediakan program bagi peningkatan modal insan dan kebolehpasaran pekerja seperti khidmat kaunseling kerjaya, pemprofilan kemahiran, penulisan resume, latihan persediaan temuduga, latihan kemahiran bahasa dan penyampaian serta seminar pekerjaan bagi mereka yang mencari pekerjaan.
“Seterusnya adalah Sistem Latihan Dual Nasional yang menerapkan kaedah 70 peratus latihan di industri dan 30 peratus latihan di pusat latihan dengan penglibatan 21 pusat latihan dan 109 syarikat di Sabah melaksanakan program ini,” katanya.