17 NOV: Satu kertas memorandum akan diserahkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat bagi menetapkan satu tempoh moratorium pengecualian perbicaraan dan pelaksanaan hukuman terhadap pesalah yang terbabit dengan percubaan bunuh diri di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan (Akta 574).
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata memorandum berkenaan kini sudah disiapkan Bahagian Kawalan Penyakit serta Pejabat Penasihat Undang-Undang dan Perundangan Perubatan KKM untuk diteliti Unit Jemaah Menteri, sebelum dibentangkan ke Kabinet tidak lama lagi.
“Memorandum berkenaan memohon Jemaah Menteri untuk meluluskan satu tempoh moratorium segera di mana tiada sabitan di bawah seksyen 309 Akta 574 bagi kes percubaan bunuh diri sehingga pindaan atau pemansuhan seksyen berkenaan dilaksanakan di Parlimen.
“Kertas cadangan memorandum ini sudah dipersetujui oleh pihak pengurusan KKM dan dalam proses semakan Unit Kabinet KKM untuk dikemukakan kepada Jemaah menteri.
“Memorandum ini akan dikemukakan secepat mungkin untuk kelulusan Jemaah Menteri selepas diperhalusi oleh Unit Jemaah Menteri di KKM dan ulasan kementerian lain.
“Saya juga mengalu-alukan maklum balas Ahli Parlimen kerana sudah pasti agenda Pelan Strategik Kesihatan Mental Kebangsaan memang ada cadangan untuk kita tingkatkan perjawatan terutamanya pakar psikologi klinikal dan pakar psikiatri,” katanya ketika menggulung perbahasan di Parlimen hari ini.
Terdahulu, Khairy berkata talian psikososial KKM menerima 232,873 panggilan melibatkan pelbagai isu termasuk sosial seperti hilang pekerjaan, tiada sumber pendapatan dan konflik serta masalah rumah tangga telah diterima antara 25 Mac 2020 hingga 7 November yang lalu.
Beliau berkata daripada jumlah itu 193,041 (79.9 peratus) panggilan yang diterima adalah terdiri daripada isu-isu yang
memerlukan sokongan emosi dan kaunseling.
“Selain talian psikososial ini, pelbagai inisiatif telah diambil oleh Kementerian Kesihatan bagi memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kesihatan mental sedia ada kepada masyarakat di peringkat daerah, hospital, klinik kesihatan dan komuniti.
“Tindakan ini dilaksanakan melalui strategi yang telah digariskan di dalam Pelan Strategik Kesihatan Mental Kebangsaan (2020- 2025),” katanya.