17 NOV: FGV Holdings Bhd (FGV) melantik Elevate sebagai syarikat pengauditan bebas untuk melaksanakan penilaian kepada operasi FGV terhadap 11 Indikator Buruh Paksa yang ditetapkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Penilaian itu adalah sebahagian daripada usaha FGV ke arah mempetisyen pembatalan Perintah Sekatan Pelepasan (WRO) oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS).
Elevate adalah penyedia perkhidmatan rantaian bekalan bebas yang berpengalaman luas dalam meningkatkan pematuhan sosial dan menangani risiko buruh paksa dengan melaksanakan pendekatan yang mengutamakan pekerja.
“Kami sudah berbincang dengan penasihat undang-undang yang berpangkalan di AS dan Elevate mengenai reka bentuk dan rancangan audit yang dijangka bermula bulan ini.
“FGV akan membuat pengumuman selanjutnya sekiranya ada perkembangan penting mengenai perkara ini,” menurut syarikat perladangan itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam.
Kenyataan itu adalah susulan WRO yang dikeluarkan oleh CBP AS pada 30 September 2020 terhadap minyak sawit dan produk minyak sawit yang dihasilkan FGV dan anak syarikatnya, serta syarikat usaha sama.
Pengumuman itu juga adalah perkembangan terkini berikutan kenyataan FGV yang bertarikh 20 Oktober 2021.
Saham FGV tidak berubah pada RM1.47 sewaktu ditutup semalam dengan 155,500 saham diurus niaga.