17 NOV: Tindakan kerajaan mewajibkan individu bekerja sendiri sebagai penghantar makanan dan barangan dalam bidang p-hailing atau e-hailing mendaftar dan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) adalah demi menjaga kebajikan dan keselamatan mereka.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, berkata ini adalah selaras dengan pewartaan Peraturan-Peraturan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Kadar caruman Bagi Orang Yang Menjalankan Perkhidmatan Pengangkutan Dan Penghantaran Barangan Atau Makanan) 2021 melalui P.U.(A) 372 bertarikh 21 September 2021 dan mula berkuatkuasa mulai 1 Oktober lalu.
Beliau menegaskan pekerja p-hailing berkenaan boleh memilihkan pelan caruman RM157.20 atau RM 232.80 atau RM442.80 atau RM592.80 untuk tempoh perlindungan selama setahun seperti termaktub di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Akta 789).
“Orang bekerja sendiri ini wajib mencarum dengan kadar caruman sangat rendah terbahagi kepada empat kategori iaitu minimun setahun RM157.20 dan RM232.80 setahun atau RM442.40 setahun atau RM592.80 setahun di mana kerajaan akan memberi insentif bayaran atau subsidi sekitar 70 peratus pada tahun ini.
“Kami juga dikhabarkan bahawa tahun depan kerajaan akan memberikan insentif sebanyak 80 peratus daripada RM232.80 kadar caruman yang sepatutnya dibayar oleh pekerja sendiri e-hailing atau p-hailing berkenaan.
“Ini bermakna pekerja e-hailing atau p-hailing hanya perlu membayar antara RM20 hingga RM30 untuk mendapatkan perlindungan di bawah skim PERKESO pada tahun depan,” katanya ketika menjawab soalan lisan di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan dikemukakan oleh Ahli Parlimen BN-Jempol, Datuk Salim Sharif yang meminta menteri berkenaan menyatakan usaha yang telah dilakukan untuk menggalakkan caruman skim perlindungan PERKESO dan Sistem Insurans Perkerjaan (SIP) bagi individu yang terlibat dalam bidang p-hailing dan e-hailing.
Mengulas lanjut, Hashim berkata langkah berkenaan mewajibkan pekerja e-hailing dan p-hailing mencarum dengan PERKESO berkenaan dapat memastikan kebajikan dan jaminan keselamatan sosial mereka lebih terjamin pada masa depan.
Beliau berkata strategi dan usaha berterusan sentiasa diambil perhatian oleh Kerajaan bagi meningkatkan caruman skim perlindungan PERKESO dan Sistem Insurans Pekerjaan terutama bagi individu yang terlibat dalam bidang p-hailing dan e-hailing.
Beliau berkata antaranya mengadakan sesi libat urus dan turun padang yang melibatkan agensi kerajaan, platform penyedia perkhidmatan ekonomi gig, persatuan, pertubuhan dan sebagainya di seluruh negara.
Katanya, kerajaan menerusi PERKESO turut mengadakan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama beberapa agensi
Kerajaan dan platform penyedia perkhidmatan bagi memperluaskan perlindungan keselamatan sosial kepada Orang Bekerja Sendiri seperti Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tabung Ekonomi Kumpulan Urus Niaga dan MyDrebar.