17 NOV: Kerajaan komited untuk memastikan bekalan 500,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) untuk golongan kurang berkemampuan dapat disiapkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata kementerian juga sentiasa berusaha mengenal pasti punca dan masalah ketidakmampuan rakyat memiliki rumah.
Reezal berkata, kementerian juga akan memastikan pelaksanaan projek perumahan di seluruh negara bagi golongan B40 dan M40 terus diberi perhatian dan lebih inklusif serta mempunyai infrastruktur lengkap dan berkualiti.
“Antara strategi akan dilaksanakan dalam tempoh RMKe-12 adalah melalui penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Pelaksanaan 500,000 Unit RMM.
“Jawatankuasa ini ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan dan pencapaian penyediaan bekalan perumahan oleh 15 agensi penyedia perumahan selain daripada kementerian, kerajaan negeri dan swasta supaya berjalan lancar dan mencapai sasaran.
“Daripada sasaran 500,000 unit RMM di bawah RMK-12, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menyumbang 89,717 unit rumah (18 peratus),” katanya menggulung perbahasan Bajet 2022 bagi kementeriannya, di Parlimen hari ini.
Mengulas lanjut, Reezal berkata kerajaan juga akan mengaktifkan semula Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memantau pelaksanaan pembinaan 500,000 unit RMM di seluruh negara.
“Kita berharap sasaran kerajaan menyediakan rumah untuk Keluarga Malaysia dapat dicapai,” katanya.
Sementara itu, katanya, setakat ini Program Perumahan Rakyat (PPR) menyediakan 97,196 unit yang siap dibina, manakala 9,862 unit masih dalam pembinaan dan 2,893 unit masih dalam perancangan.
Beliau berkata, bagi Rumah Mesra Rakyat (RMR) menerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), sebanyak 47,959 unit sudah siap dibina; 4,962 unit masih dalam pembinaan dan 1,464 unit masih dalam perancangan.
“Kediaman SPNB untuk golongan M40 pula, sehingga kini 27,518 unit rumah siap dibina dan 1,968 unit rumah sedang dalam pembinaan serta 1,841 unit rumah masih dalam pelbagai peringkat perancangan.
“Melalui Program Perumahan PR1MA, setakat ini terdapat 25,819 unit siap dibina; 21,318 unit masih dalam pembinaan dan 2,264 unit masih dalam perancangan.
“Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM), sehingga 8 November lalu, sebanyak 23,942 unit siap dibina; 15,022 unit masih dalam pembinaan dan 18,440 unit masih dalam perancangan,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Reezal berkata KPKT sedang merangka dasar peralihan pengurusan sisa pepejal ke arah ekonomi kitaran yang menekankan amalan penggunaan dan pengeluaran yang mampan.
Menurutnya, langkah berkenaan perlu kerana ketika ini pengurusan sisa pepejal di Malaysia adalah lebih berasaskan kepada model konvensional ekonomi linear iaitu kebanyakan sisa pepejal dibuang terus ke tapak pelupusan selepas digunakan.
“Usaha ini dilihat dapat mengurangkan penjanaan jumlah sisa pepejal dalam jangka masa panjang serta akan mengurangkan kos pengurusan sisa pepejal dan seterusnya menyumbang kepada pencapaian matlamat pembangunan mampan.
“Dalam menggalakkan ekonomi kitaran dan ke arah mencapai sasaran pengurangan sisa ke tapak pelupusan, KPKT telah menyasarkan untuk meningkatkan Kadar Kitar Semula Kebangsaan kepada 40 peratus menjelang tahun 2025,” katanya.