18 NOV: Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2022 atau Bajet 2022 pada peringkat dasar hari ini.
RUU itu diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang tanpa perlu melalui undian belah bahagi.
Keputusan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, pada jam 5.20 petang.
Permohonan beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang mahu pengundian dibuat secara belah bahagi tidak kesampaian apabila cadangan itu gagal mendapat sokongan sekurang-kurangnya 15 Ahli Parlimen.
Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menggulung perbahasan kira-kira sejam.
Kelulusan RUU berkenaan akan membolehkan kerajaan menggunakan dana di bawah Kumpulan Wang Disatukan untuk tujuan perbelanjaan negara bagi tahun depan.
Bajet dibentangkan di Parlimen pada 29 Okt lepas dengan peruntukan RM332.1 bilion itu adalah yang terbesar setakat ini.
Minggu depan, perbahasan akan melalui peringkat jawatankuasa sebelum pengundian sekali lagi dilakukan.