18 NOV: Indonesia mengamalkan pendekatan berwaspada dengan melaksanakan dasar-dasar penting bagi menggelakkan gelombang ketiga COVID-19 pada musim perayaan hujung tahun ini.
Walaupun, kadar jangkitan kekal di paras terendah iaitu lebih empat juta orang Indonesia yang dijangkiti COVID-19 dan 96.3 peratus dinyatakan sembuh, namun negara tersebut tidak mahu leka.
Usaha menangani pandemik coronavirus di Indonesia semakin positif dengan trend kes baharu dan angka kematian berkurangan.
Terbaru, pemerintah Indonesia bercadang melaksanakan vaksinasi ke atas kanak-kanak berusia enam hingga 11 tahun.
Agensi Pengawasan Makanan dan Ubat-Ubatan (BPOM) sudah meluluskan penggunaan vaksin Coronavac keluaran syarikat China, Sinovac, untuk penggunaan kecemasan bagi kanak-kanak semuda usia enam tahun.
Ketua BPOM, Penny Lukito, mengumumkan bahawa keizinan sudah diperoleh bagi penggunaan vaksin COVID-19 Sinovac dan vaksin COVID-19 dari Bio Farma untuk anak usia enam hingga 11 tahun.
Langkah vaksinasi untuk kanak-kanak enam hingga 11 tahun itu menyusuli pelaksanaan pelalian COVID-19 ke atas golongan 12 hingga 17 tahun.
Kelulusan penggunaan vaksin Coronavac dibuat selepas kejayaan uji kaji klinikal Fasa 1 dan 2 yang memberi tumpuan kepada keselamatan dan immunogenisiti iaitu keupayaan vaksin mendorong respons pelalian dalam kalangan kanak-kanak.
Penny berkata, kadar immunogenisiti yang dipamerkan semasa uji kaji itu sangat tinggi peratusannya iaitu sehingga 96 peratus.
“Bagi kadar keberkesanannya pula, kami rujuk kepada hasil keputusan dari uji kaji klinikal sebelumnya,” katanya dalam satu sidang akhbar, yang dilaporkan laman berita, Detik News.
Vaksin Sinovac adalah vaksin pertama yang mendapat kelulusan Indonesia bagi kegunaan dalam kalangan kanak-kanak, yang sebelum ini dihadkan kepada mereka berusia 12 tahun ke atas.
Dengan demografi yang lebih muda kini layak mendapat vaksin COVID-19, pembukaan sekolah boleh diperluaskan dengan ibu bapa menjadi lebih yakin, kata Penny.
“Pandemik masih jauh dari selesai dan kita mesti terus meluaskan usaha vaksinasi COVID-19.
“Saya fikir kanak-kanak tergolong dalam kumpulan rentan dan kita boleh mula vaksinasi mereka yang berusia enam tahun ke atas,” katanya.
Indonesia sudah menyuntik lebih 194 juta dos vaksin COVID-19 sejak kempen bermula pada 13 Januari tahun ini, dengan 74 juta rakyat divaksinasi sepenuhnya.
Lebih daripada 26 juta kanak-kanak berusia di antara 12 dengan 17 tahun sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, menurut Kementerian Kesihatan Indonesia.