18 NOV: Barisan Nasional (BN) mengesahkan surat yang tular di media sosial berkaitan Kekeliruan Isu Calon Ketua Menteri Melaka adalah palsu.
Pengarah Komunikasi Barisan Nasional Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah menyatakan surat berkenaan tidak dikeluarkan oleh Setiausaha Agung UMNO.
“Berhati-hati. Surat yang sedang tular di sosial media atas perkara Kekeliruan Isu Calon Ketua Menteri Melaka adalah palsu.
“Surat ini tidak dikeluarkan oleh Setiausaha Agung UMNO. Ia dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.
Surat bertarikh 13 November 2021 itu dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan ditujukan kepada Ketua dan Setiausaha Bahagian-Bahagian UMNO Negeri Melaka.
Surat berkenaan menyebut tentang kegusaran UMNO di peringkat bahagian di Melaka berhubung calon ketua menteri.
Turut dijelaskan pengumuman Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai calon Ketua Menteri Melaka daripada BN adalah tidak muktamad dan merupakan strategi memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“UMNO sentiasa mempertahankan prinsip menghormati hieraki organisasi dalam konteks di Melaka jawatan Ketua Menteri Melaka berhak disandang oleh Datuk Seri Ab Rauf selaku Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Melaka.
“Justeru, diharapkan UMNO di peringkat bahagian-bahagian tidak membangkitkan lagi isu ini sebaliknya fokus kepada kempen pilihan raya,” kata surat berkenaan.
Shamsul Anuar memberitahu, tindakan yang dilakukan itu jelas menampakkan kegusaran Pakatan Harapan ( PH ) dan Perikatan Nasional ( PN ) yang bimbang atas pemilihan Datuk Seri Sulaiman Ali sebagai Ketua Menteri Melaka oleh BN.
Justeru, beliau mengingatkan para pengundi di Melaka bahawa kenyataan rasmi BN atau UMNO hanya melalui laman rasmi BN dan UMNO Malaysia.