19 NOV: Barisan Nasional (BN) percaya boleh menang lebih 18 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, esok berdasarkan sambutan baik daripada pengundi.
Calon Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata keyakinan itu adalah berdasarkan penerimaan pengundi di 28 kawasan DUN sejak hari pertama kempen adalah sangat baik.
“Jentera BN juga sudah menjalankan tugas sebaik mungkin dalam mendekati pengundi di semua kerusi ditandingi.
“Alhamdulillah penerimaan pengundi baik sejak hari pertama kempen dan diharap dapat diterjemahkan pada hari pengundian esok,” katanya pada sidang media di Seri Bendahara, Melaka hari ini.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, rakyat Melaka juga diingatkan supaya membuat pilihan bijak kerana kerajaan negeri yang dipilih kelak bukan untuk tempoh setahun atau dua tahun.
Katanya, kerajaan dipilih akan diberi mandat untuk lima tahun dan seharusnya parti yang mempunyai rekod perkhidmatan yang terbaik menjadi pilihan.
“Rakyat diharap memilih BN yang mempunyai ‘track record’ yang baik dalam memperjuangkan agenda rakyat lebih 60 tahun.
“Parti yang stabil dan berpengalaman memudahkan dasar kerajaan yang tertangguh sebelum ini diteruskan semula,” katanya yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu pada PRN Melaka esok.
Esok penentu landskap politik dan pentadbiran kerajaan Melaka untuk tempoh lima tahun akan datang.
Pada PRN kali ini, seramai 476,037 pengundi daripada keseluruhan 495,195 pengundi berdaftar akan menjalankan tanggungjawab esok.
Daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 11,557 adalah pengundi awal dan 7,601 mengundi secara pos.