19: Kerajaan Persekutuan meluluskan tujuh projek besar bagi mengatasi masalah banjir di Melaka.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata antara projek berkenaan termasuk projek menaik taraf kolam tebatan banjir di Krubong yang bernilai RM600 juta.
“Selain itu, projek tebatan banjir di Alor Gajah Fasa 1 dengan peruntukan RM30 juta, RTB (Rancangan Tebatan Banjir) Sungai Duyong (RM163 juta), RTB Jasin (RM60 juta) dan RTB Sungai Melaka Fasa 1 (RM40 juta).
“Ini tanggungjawab kita sebagai kerajaan pusat. Semua senarai projek itu telah kita sahkan dalam Parlimen.
“Sebahagiannya sedang berjalan, manakala yang lain dalam peringkat proses pelaksanaan yang lain,” katanya pada rancangan ceramah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bersama beliau sebagai Timbalan Presiden PAS yang disiarkan melalui Facebook Melaka Update, malam tadi.
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, lapan calon PAS yang dipilih untuk bertanding pada PRN Melaka, esok, sudah melalui tapisan ketat bagi memastikan integriti mereka sekiranya bergelar wakil rakyat kelak.
PRN Melaka kali ini menyaksikan PAS bertanding di lapan kerusi bawah Perikatan Nasional (PN) bersama BERSATU (15) dan GERAKAN (lima).