19 NOV: Perikatan Nasional (PN) mencalonkan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai bakal Ketua Menteri Melaka baharu kerana yakin mampu menang sekurang-kurangnya 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus membentuk kerajaan selepas keputusan penuh Pilihan Raya Negeri (PRN) diumumkan nanti.
Pengarah Pilihan Rayanya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menegaskan sebaik saja pengumuman pencalonan itu dibuat Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, jentera pilihan raya parti mengesan peningkatan sokongan di DUN Tanjung Bidara dan Melaka secara keseluruhannya.
“Apabila kita menamakan beliau (Mas Ermieyati), kita yakin dan insya-Allah boleh menang dan kalau hendak bentuk kerajaan perlu sekurang-kurangnya 15 kerusi.
“Itulah harapan kita apabila menamakan Mas Ermieyati secara sebulat suara semalam dan hari ini kita dapat lihat ada peningkatan sokongan kepada PN,” katanya pada sidang media bersama Mas Ermieyati di Pengkalan Balak, di Melaka, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, jika tiada satu gabungan parti sama ada PN, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mampu membentuk kerajaan negeri baharu, maka PN bersedia berunding.
“Tan Sri Muhyiddin sudah menyatakan sebarang rundingan mengenai perkara itu akan hanya dilakukan selepas PRN esok.
“Yang penting sekarang kita memberikan tumpuan kepada usaha memberi keyakinan kepada pengundi supaya menterjemahkan sokongan dalam bentuk undi esok,” katanya.
Ditanya undian ahli PAS kepada calon PN, Mohamed Azmin berkata beliau yakin mereka komited kepada kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya memberikan undi kepada calon PN.
“Saya yakin kematangan ahli PAS cukup istiqamah dalam perjuangan dan mematuhi keputusan yang sudah dibuat secara kolektif,” katanya.