20 NOV: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) siasat dakwaan seorang individu disahkan positif COVID-19 keluar mengundi di salah satu pusat mengundi di daerah Alor Gajah, sempena PRN Melaka hari ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Dr Rusdi Abd Rahman berkata kes berkenaan dikesan selepas Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah, Melaka menerima notifikasi dari COVID-19 Assessment Centre (CAC) Melaka.
Dr Rusdi berkata keputusan ujian bagi pesakit ini diterima dari makmal swasta setelah beliau selesai proses mengundi, pesakit ini tidak menunjukkan sebarang gejala pada waktu mengundi.
Berikutan itu, beliau berkata, pihak PKD Alor Gajah telah mengarahkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat mengundi terlibat untuk menutup sementara kawasan berisiko termasuk saluran mengundi bagi proses disinfeksi menyeluruh.
“Disinfeksi ini telah dijalankan dengan kerjasama pihak Bomba. Pihak SPR telah mengambil langkah segera membuka bilik baru sebagai saluran mengundi dengan menggunakan peralatan yang baru.
“Pasukan pemantauan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah juga telah diarahkan ke pusat mengundi terlibat untuk memastikan kawalan infeksi dijalankan secara teratur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Rusdi berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dengan terperinci dan semua kontak rapat serta sosial sedang disiasat oleh Bilik Gerakan PKD Alor Gajah.
Berikutan itu, beliau memohon orang ramai agar merujuk kepada kenyataan rasmi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan JKN Melaka.
Untuk mendapatkan maklumat sahih dan sebarang pertanyaan mengenai perkara tersebut, orang ramai boleh menghubungi Crisis Preparedness and Response Center (CPRC) Melaka di talian 06-2345999 atau melalui e-mel cprcmelaka@moh.gov.my.