20 NOV: Proses pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini, tamat secara rasmi selepas semua 217 pusat pengundian di seluruh negeri itu ditutup pada jam 5.30 petang tadi.
Pengundian berlangsung selama sembilan jam 30 minit sejak jam 8 pagi tadi bagi membolehkan 476,037 daripada 495,195 pengundi berdaftar menjalankan tanggungjawab mengundi wakil rakyat di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sejurus selepas pusat pengundian ditutup, semua kertas undi akan dikira terlebih dulu, sebelum peti undi daripada 1,109 saluran dibawa ke 28 pusat penjumlahan undi di seluruh negeri ini.
Berikutan itu Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, dijangka mengumumkan keputusan rasmi PRN Melaka, dalam sidang media khas antara jam 10 malam hingga 12 tengah malam ini.
PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Berikutan itu, seramai 112 calon bertanding dengan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) bertanding di semua 28 kerusi, manakala Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) di lima kerusi, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) (satu) dan Bebas (22).