22 NOV: Arab Saudi mengumumkan permit umrah atau tujuan lain untuk jemaah warga asing dihadkan kepada golongan berusia antara 18 hingga 50 tahun.
Kementerian Umrah dan Haji dalam satu kenyataan berkata, setiap jemaah warga asing juga diwajibkan mengambil suntikan lengkap vaksin COVID-19 yang diiktiraf Arab Saudi.
Selain itu, mereka perlu mengemukakan sijil vaksinasi yang disahkan secara rasmi untuk mendapatkan visa kemasukan elektronik melalui aplikasi kesihatan Eatmarna dan Tawakkalna di laman sesawang Kementerian Luar Arab Saudi.
Pihak kementerian sebelum ini melancarkan perkhidmatan yang membolehkan jemaah umrah luar negara mendapatkan permit menunaikan ibadah di Masjidilharam, Makkah dan solat di Masjid Nabawi, Madinah melalui aplikasi kesihatan itu, dalam usaha memudahkan prosedur mereka.
Bulan lalu, Arab Saudi melonggarkan sekatan bagi mengawal pandemik COVID-19 kerana keadaan epidemiologi di negara itu mulai stabil, dengan rekod menunjukkan penurunan mendadak dari segi kadar jangkitan.
Kelonggaran sekatan itu termasuk menamatkan penjarakan fizikal bagi jemaah di dua masjid suci di Makkah dan Madinah, di mana jemaah boleh beribadat dengan kapasiti penuh.