22 NOV: Kemenangan Barisan Nasional (BN) yang bergerak secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukan ukuran sebenar kejayaan bagi negeri lain pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, kejayaan BN tanpa kerjasama Perikatan Nasional (PN) mahupun Muafakat Nasional (MN) boleh dibanggakan di negeri yang mempunyai 476,037 pengundi biasa itu.
Bagaimanapun, Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, menegaskan situasi berbeza bakal dihadapi BN jika bergerak secara solo di negeri tertentu pada PRU-15 nanti.
“Memang UMNO (BN) boleh solo, terbukti (menang) di PRN Melaka, tapi ‘lain padang lain belalang’. Macam di Selangor, kerjasama MN ini kita masih perlukan dan perlu diteruskan.
“Kena tengok juga bilangan pengundi, di Selangor pecahan kaum sama banyak tak macam di Melaka kalau tak silap saya pecahannya 60-40.
“Jadi kalau negeri lain tak mahu ikut (bersama MN seperti di Selangor) pun tak apalah tapi di Selangor kita perlu MN bekerjasama itupun jika Pas sudilah,” ketika merasmikan penutupan Program Realiti Zero To CEO di sebuah hotel di Ayer Keroh di Melaka.
Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang itu berkata, UMNO perlu mempelajari banyak perkara selepas kemenangan besar BN di Melaka, namun ia tidak bermakna boleh diambil ‘bulat-bulat’ di peringkat Kerajaan Pusat.
“Ya ada yang kita boleh pelajari daripada kemenangan BN bertanding solo di Melaka, tapi kena tahu juga ‘lain padang lain belalang’,” katanya.
Keputusan PRN Melaka Sabtu lalu menyaksikan rakyat mengembalikan mandat kepada BN setelah memperoleh majoriti dua pertiga memenangi 21 kerusi DUN daripada 28 kerusi dipertandingkan.
Kerusi terbabit ialah Tanjung Bidara, Ayer Limau, Merlimau, Taboh Naning, Durian Tunggal, Lendu, Duyong, Rembia, Sungai Rambai, Kelebang, Kuala Linggi, Machap Jaya, Gadek, Serkam, Telok Mas, Pantai Kundor, Paya Rumput, Rim, Ayer Molek, Pengkalan Batu dan Asahan.
Manakala Pakatan Harapan (PH) disahkan memenangi lima kerusi iaitu di DUN Ayer Keroh, Kota Laksamana, Bukit, Kesidang, Bukit Katil dan Bandar Hilir. PN pula menang dua kerusi iaitu di DUN Sungai Udang, Bemban.