22 NOV: Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, menafikan dakwaan bahawa pihaknya pernah mengeluarkan kenyataan yang menolak pelantikan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri Melaka.
Ab Rauf berkata tindakan pihak menyebarkan kenyataan palsu itu sebagai fitnah untuk memburukkan imej kepimpinan UMNO bahagian terbabit.
“Itu palsu, fake dan fitnah. Semalam saya sudah menyatakan sokongan kepada Sulaiman sebagai Ketua Menteri Melaka menerusi sidang media, itu sudah jelas (menyokong pelantikan ketua menteri),” katanya dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.
Sejak pagi tadi, tular di media sosial kenyataan yang menggunakan kepala surat UMNO Bahagian Masjid Tanah bertajuk `Menolak Pencalonan Datuk Seri Sulaiman Md Ali Sebagai Ketua Menteri ke-13 Yang Baru’.
Antara kandungan kenyataan itu termasuk UMNO bahagian itu terkilan tindakan tergesa-gesa pelantikan berkenaan tanpa ada perbincangan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Turut dinyatakan dalam kenyataan berkenaan, pelantikan Sulaiman itu didalangi oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sehubungan itu, kenyataan itu menyebut UMNO bahagian menolak pelantikan itu dan tidak teragak-agak mengusulkan kepada ADUN Tanjung Bidara (Ab Rauf) untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Sulaiman.