22 NOV: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengambil kira maklum balas semua pihak mengenai keberkesanan prosedur operasi standard (SOP) di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, pada Sabtu lalu bagi merangka SOP sempena PRN Sarawak nanti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata SPR kini sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri bagi merangka SOP pencegahan COVID-19 bagi PRN Sarawak.
Beliau berkata SPR akan mengumumkan SOP PRN Sarawak selepas ia dimuktamadkan kelak.
“Ura-ura untuk mengadakan pilihan raya di Sarawak sudah lama, namun kerana berlakunya darurat, maka ia (PRN) tidak boleh dilaksanakan. Persediaan di Sarawak jauh lebih teratur daripada yang kita lihat di Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mempunyai kesalinghubungan digital dalam memotong nama pengundi yang meninggal dunia secara automatik.
“Dari sudut undang-undang, SPR tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan nama individu yang disenarai dalam daftar pemilih. Itu sebabnya apabila berlaku kematian, kalau ia tidak dilapor kepada JPN, tidak ada perhubungan kepada SPR.
“SPR turut mengambil maklum berhubung cadangan melaksanakan kertas undi berwarna bagi memudahkan pengundi membuat pilihan,” katanya.