23 NOV: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa Kementerian Perpaduan Negara (KPN) tanpa undi belah bahagi.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, berkata RUU Perbekalan 2022 bagi KPN diluluskan menerusi undian suara majoriti menyokong.
Kelulusan itu membolehkan KPN menggunakan peruntukan RM342,528,400 bekalan B14 Perbelanjaan Mengurus dan P14 bagi Perbelanjaan Pembangunan Bajet 2022.
Seramai 23 ahli Dewan Rakyat berbahas peringkat jawatankuasa RUU itu sejak jam 12 tengah hari dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique menggulung perbahasan.
Terdahulu, Halimah ketika menggulung perbahasannya mengesahkan KPN sudah mewujudkan Jawatankuasa HARMONI bagi mengekalkan keharmonian kaum dan penganut agama bukan Islam di negara ini.
Halimah berkata tujuan utama penubuhan jawatankuasa berkenaan dianggotai oleh 14 ketua agama berkenaan adalah untuk mengharmonikan isu berkaitan dengan agama, selain Islam.
“KPN juga mewujudkan satu lagi Jawatankuasa Harmoni JAKIM dipengerusi bersama oleh beliau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Hal Ehwal Agama Islam) Senator Idris Ahmad bagi menyelesai pertikai berhubung isu membabitkan Islam dan agama lain.
“Kita berharap penubuhan kedua-dua jawatankuasa berkenaan dapat menyelesaikan pelbagai isu berbangkit sekali gus mewujudkan perpaduan dan keharmonian antara penganut agama lain dan Islam pada masa depan,” katanya.