24 NOV: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan 18 Disember depan sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12.
Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata mesyuarat khas SPR hari ini juga menetapkan tarikh penamaan calon adalah pada 6 Disember 2021, manakala pengundian awal diadakan pada 14 Disember 2021.
Abdul Ghani berkata tempoh berkempen ditetapkan selama 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 6 Dis, iaitu hari Isnin, sehingga jam 11.59 malam 17 Disember.
Berikutan itu seramai 1.26 juta individu layak mengundi pada PRN Sarawak ke-12 berdasarkan senarai pengundi yang dikemas kini pada 3 Oktober lalu.
“SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi pada PRN Sarawak ke-12 nanti.
“Bagi menggalakkan pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari mengundi, SPR akan melaksanakan kempen ‘Jom Kita Undi’.
“Ini termasuk melalui pelbagai saluran media seperti di media elektronik, media sosial, hebahan melalui siar raya dan pemasangan kain rentang di lokasi-lokasi strategik tumpuan awam dan tempat-tempat lain yang bersesuaian,” katanya dalam satu sidang media di Kunching, Sarawak, sebentar tadi.
Sebelum ini SPR tidak dapat mengadakan PRN Sarawak selepas tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir pada 6 Jun lalu berikutan perisytiharan darurat di seluruh negara ketika itu.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di seluruh negara pada 11 Januari sehingga 1 Ogos, bagi mengekang penularan COVID-19.
Apabila darurat di seluruh negara berakhir pada 1 Ogos, Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di Sarawak bermula 2 Ogos hingga 2 Februari 2022.
Darurat ini ditarik balik pada 3 November lalu, sekali gus membolehkan SPR mengadakan PRN Sarawak.
Susulan penamatan darurat itu, DUN Sarawak turut terbubar pada 3 November dan ia memberi laluan kepada PRN ke-12 di Sarawak yang mempunyai 82 kerusi DUN.