25 NOV: Kerajaan perlu memberikan peruntukan lebih banyak kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) bagi membangunkan prasarana industri pelancongan terutama di luar bandar.
Ahli Parlimen BN Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkata tindakan berkenaan perlu kerana industri pelancongan mempunyai potensi besar untuk membangunkan ekonomi luar bandar.
Tajuddin yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) berkata langkah berkenaan penting kerana kebanyakan pelancong asing dari luar negara suka mengunjungi destinasi pelancongan seperti kawasan berbukit, pantai dan lautan yang didapati di luar bandar.
“Oleh itu, saya ingin mengingatkan MOTAC untuk mengambil peluang ini bagi membangunkan industri pelancongan di luar bandar dan kampung dengan menyalurkan peruntukan sebesar mana diperlukan supaya kita dapat membangunkan ekonomi masyarakat di luar bandar.
“Jika mahu mengharapkan industri perkilangan, pembinaan dan sebagainya memang tidak mudah kerajaan mahu melaksanakan di luar bandar,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Bajet 2022 peringkat jawatankuasa di Parlimen hari ini.
Mengulas lanjut, Tajuddin berkata antara pembangunan infrastruktur penting dan perlu diberikan perhatian oleh MOTAC seperti kemudahan lebih banyak inap desa atau ‘homestay’.
Beliau berkata kebanyakan kemudahan inap desa sedia ada didapati kurang memberikan keselesaan kepada pelancong terutama warga asing dari luar negeri.
“Kita kena faham bahawa kebanyakan pelancong asing mempunyai tahap kepuasan yang tinggi dari segi keselesaan, kualiti dan sebagainya.
“Oleh itu saya berharap MOTAC akan memberikan perhatian lebih kepada perkara-perkara ini,” katanya.
Dalam pada itu, Tajuddin melahirkan rasa kesal dan terkilan dengan sikap kerajaan negeri dan MOTAC yang mengabaikan kemudahan pelancongan dibina dengan kos berpuluh juta ringgit di tepi Sungai Perak.
“MOTAC juga perlu melakukan sesuatu bagi menarik lebih ramai pelancong asing dari Indonesia memilih Malaysia sebagai destini pelancongan mereka,” katanya.