25 NOV: Konsep Keluarga Malaysia tidak hanya tertumpu kepada kaum majoriti malah kepada semua kaum.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid, berkata konsep Keluarga Malaysia diambil kerana ia lebih bersifat inklusif dan merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.
“Konsep Keluarga Malaysia ini diterjemahkan dalam penggubalan dasar kerajaan yang menggariskan perancangan strategik secara komprehensif bagi membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi demi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memastikan tiada sesiapa yang tertinggal dalam mengecapi nikmat pembangunan negara.
“Konsep ini merupakan aspirasi jangka panjang bagi melahirkan Keluarga Malaysia yang kalis cabaran masa hadapan dalam mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi berlandaskan Petunjuk Prestasi Utama dan Keberhasilan Kebahagiaan (KHO) kerajaan,” katanya ketika menjawab soalan di sesi jawab lisan di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen GPS-Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang meminta Perdana Menteri menyatakan bagaimanakah konsep Keluarga Malaysia dapat diterjemahkan menerusi dasar dan pelaksanaan yang dirangka kerajaan agar tidak hanya tertumpu kepada kaum majoriti tetapi meliputi semua lapisan kaum dan bangsa.
Mengulas lanjut, Mastura berkata ini jelas dengan usaha kerajaan yang menyediakan pelbagai bantuan prihatin rakyat merangkumi aspek kebajikan, kesihatan, kemudahan infrastruktur bagi mensejahterakan hidup dan memastikan pemulihan ekonomi negara berjaya.
Beliau berkata krisis berkembar ini iaitu krisis ekonomi dan kesihatan telah menyediakan peluang kepada kita untuk
merencana semula pelan pembangunan negara untuk semua kaum, bagi membolehkan kekayaan negara dinikmati seluruh Keluarga Malaysia dengan adil dan saksama.
“Pegangan kerajaan untuk menerapkan falsafah Keluarga Malaysia dalam penggubalan setiap polisi yang dirancang adalah bagi memastikan matlamat akhir untuk menang bersama tercapai dan tiada yang ditinggalkan dalam perjalanan pembangunan negara sama ada dari segi pemulihan ekonomi ataupun kesihatan,” katanya.
Terdahulu, Mastura berkata Konsep Keluarga Malaysia mempunyai tiga nilai utama iaitu pertama Inklusiviti (keterangkuman) iaitu antaranya menyemai budaya integriti; Kebersamaan iaitu antaranya memupuk semangat kekeluargaan; dan Kesyukuran iaitu membudayakan amalan sihat dari segi rohani, mental dan fizikal.
“Semua nilai ini adalah nilai sejagat yang diterapkan dalam setiap dasar, perancangan dan pelaksanaan program yang dibuat oleh setiap kementerian, jabatan dan agensi.
“Nilai inklusiviti, kebersamaan dan kesyukuran Keluarga Malaysia ini menjadi teras dalam menjayakan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) ini yang dirangka dengan mengambil kira semua lapisan umur, kesaksamaan gender, wilayah, taraf ekonomi dan kaum,” katanya.