25 NOV: Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) digesa mengkaji semula penetapan kadar harga siling maksimum minyak masak dalam botol yang dijual di pasar raya di seluruh negara.
Ahli Parlimen BN-Jempol, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif, berkata beliau menerima banyak rungutan dan mendengar keluhan rakyat yang mengatakan mereka tidak mampu membeli minyak masak dalam botol kerana harganya mahal.
Malah, Mohd Salim berkata harga minyak siling ditetapkan KPDNHEP sekarang iaitu RM29.70 untuk minyak masak dalam botol 5 kilogram (kg) dan RM18.70 (3kg) dan RM12.70 (2kg) bukan hanya amat mahal, malah di luar paras kemampuan rakyat di negara ini.
“Justeru, saya ingin bertanya kepada kerajaan sama ada penetapan harga minimum harga minyak masak dalam botol berkenaan selari dengan penetapan gaji minimum, garis kemiskinan tegar dan kuasa beli rakyat yang terhimpit akibat penularan COVID-19 pada masa ini.
“Apakah mekanisme digunakan oleh KPDNHEP untuk menentukan penetapan harga siling minyak masak tersebut kerana penetapan harga mengikut kadar harga minyak sawit mentah di pasaran global tidak menyebelahi rakyat biasa,” katanya ketika membahaskan usul Bajet 2022 peringkat jawatankuasa bagi KPDNHEP di Parlimen, sebentar tadi.
Sementara itu, Ahli Parlimen PAS-Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, pula meminta KPDNHEP menyatakan apakah langkah diambil bagi mengatasi masalah kenaikan harga barangan keperluan harian yang semakin meruncing sejak kebelakangan ini.
Wan Hassan berkata beliau difahamkan ramai peniaga terpaksa menaikkan harga barang kerana tindakan pemborong meletakkan harga tinggi kepada mereka.
Berikutan itu Wan Hassan memohon kepada KPDNHEP mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pemborong yang didapati memanipulasi harga dengan niat mengaut keuntungan lebih.