25 NOV: PETRONAS tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, PETRONAS tidak berbuat demikian kerana kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri Kelantan.
“Namun begitu, memandangkan lokasi medan petroleum berdekatan dengan perairan negeri Kelantan, maka Kerajaan Persekutuan membuat pembayaran dalam bentuk wang ihsan.
“Bagaimanapun, PETRONAS melaksanakan projek dan program untuk manfaat rakyat Kelantan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Ahli Dewan Rakyat yang turut disiarkan dalam laman web rasmi Parlimen hari ini.
Tengku Zafrul berkata demikian menjawab soalan daripada Ahli Parlimen PAS-Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang meminta kerajaan menyatakan status terkini tuntutan bayaran royalti tunai oleh Kerajaan Negeri Kelantan.
Isu royalti minyak melibatkan negeri Kelantan masih lagi diperkatakan dan meskipun PAS kini sebahagian daripada kerajaan, isu tersebut masih lagi belum menemui jalan penyelesaian tuntas.
Sebelum ini, desakan demi desakan mendorong Kerajaan Persekutuan menyalurkan bantuan wang ihsan kepada kerajaan Kelantan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bermula 2014, dianggarkan lebih RM200 juta.