25 NOV: Keluhan rakyat susulan kenaikan harga sayuran dan ayam mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini yang meminta pihak penguat kuasa melakukan pemantau dan operasi yang lebih agresif.
“Pihak penguat kuasa perlu melakukan pemantauan dan operasi yang lebih agresif untuk memastikan tidak ada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga sehingga mengundang kemarahan kepada pengguna,” katanya ringkas yang dimuat naik di Facebooknya hari ini.
Dalam tempoh dua jam muat naik itu, ia mendapat sebanyak 1,200 komen dan 217 shares.
Rata-rata netizen menyokong saranan Perdana Menteri itu agar penguat kuasa melakukan pemantauan dan operasi yang lebih kerap dan agresif agar peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga.
“Sangat setuju Datuk Seri Ismail Sabri. Harap pihak berkuasa lebih agresif untuk memastikan peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barang,” kata salah seorang netizen yang dikenali sebagai Fitri Amir.
Selain itu, netizen turut marah dengan kelemahan penguatkuasaan selain tindakan yang lambat di pihak penguat kuasa apabila aduan dibuat pengguna.
Harga sayur di seluruh negara meningkat antara 20 sehingga 30 peratus sejak bulan lalu berikutan keadaan cuaca hujan hampir setiap hari.