24 NOV: Ahli Parlimen BN Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, semalam menggesa kerajaan supaya segera mengembalikan semula sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilihat lebih baik berbanding pelaksanaan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ketika ini.
Tajuddin berkata beliau berpandangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini melakukan kesilapan menukar sistem percukaian dari GST kepada SST pada 2018.
Beliau yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) berkata, disebabkan penukaran sistem berkenaan, hasil kerajaan telah mengalami kerugian.
“Saya ingin bertanya kerajaan khususnya Menteri Kewangan, boleh tak kita kembalikan percukaian ini daripada SST kepada GST.
“Kerajaan terdahulu telah membuat kesilapan menukar kepada sistem percukaian SST ini menyebabkan kita mengalami kerugian yang banyak bagi hasil kerajaan,” katanya ketika mencelah ketika sesi penggulungan Bajet 2022 peringkat jawatankuasa bagi peringkat Kementerian Kewangan di Parlimen hari ini.
Berikutan itu Tajuddin meminta kerajaan segera melaksanakan semula GST tersebut demi membantu meningkatkan hasil kerajaan.
“Elok kalau boleh diperkenalkan semula cukai GST ini dengan segera dan kita boleh mengharapkan pertumbuhan hasil kerajaan.
“Saya rasa ramai menyokong di mana pihak yang dulu tidak menyokong GST sekarang ini dah menyesal dan sedar kesilapan mereka itu,” katanya.
Get real time updates directly on you device, subscribe now.