26 NOV: Bekas Menteri Pelancongan merangkap Ahli Parlimen Lahad Datu Datuk Mohammadin Ketapi, sah sertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Penyertaan bekas wakil rakyat daripada Parti Warisan Sabah itu disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan setelah diputuskan menerusi mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU malam tadi.
“Mesyuarat Khas MPT BERSATU sudah memperakukan dan menerima permohonan Ahli Parlimen Lahad Datu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama, Datuk Mohammadin Ketapi sebagai ahli BERSATU yang baharu.
“BERSATU menyambut baik keahlian beliau kerana ia bukan saja bakal mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, maka ia juga akan memberikan manfaat yang besar kepada pembangunan serta kebajikan rakyat di Parlimen dan DUN yang beliau wakili,” katanya.
Mohammadin sebelum ini mengumumkan keluar WARISAN untuk menjadi Ahli Parlimen dan ADUN Bebas.
Dalam pada itu beliau berkata BERSATU memutuskan untuk mengadakan perbincangan lanjut bersama parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengenai persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, pada 18 Disember depan.
“Bagi menentukan strategi dan persiapan menghadapi PRN Sarawak 2021 sekali gus untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya.
Pada masa sama, Hamzah berkata BERSATU sudah mengenal pasti kelemahan ketika PRN berkenaan dan akan mengambil langkah penambahbaikan dengan segera.
“Keputusan itu membuktikan PN parti yang mempunyai pengaruh serta sokongan kukuh dalam kalangan pengundi PRN Melaka, yang mana BERSATU salah satu parti komponen PN bersama PAS dan GERAKAN.
“BERSATU merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundi PRN Melaka yang mengundi dan memberi sokongan kepada calon BERSATU dan parti komponen PN, PAS serta GERAKAN. Sokongan ini manifestasi penerimaan baik rakyat terhadap PN,” katanya.
Hamzah juga mengesahkan, BERSATU akan mengadakan Persidangan Agung Tahunan (PAT) BERSATU kelima di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 18 dan 19 Disember 2021.
Beliau berkata persidangan berkenaan akan diadakan secara fizikla dan bakal dihadiri 1,600 perwakilan daripada seluruh negara.
“Justeru, selamat bersidang diucapkan kepada semua perwakilan mesyuarat agung bahagian di seluruh negara yang akan bermula 26 November sehingga 28 November ini,” katanya.