26 NOV: Telekom Malaysia Bhd (TM) mencatatkan kemerosotan 18 peratus bagi keuntungan bersihnya kepada RM271.21 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2021 daripada RM329.40 juta untuk tempoh yang sama tahun lalu.
Pendapatan, bagaimanapun meningkat kepada RM2.8 bilion berbanding RM2.7 bilion sebelum ini di tengah-tengah kenaikan perolehan daripada semua perkhidmatan, melainkan perkhidmatan tidak berkaitan telekomunikasi.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, syarikat itu berkata perolehan daripada segmen Unifi menokok daripada RM1.15 bilion kepada RM1.27 bilion pada suku ketiga, didorong peningkatan daripada jalur lebar tetap, suara, perkhidmatan mudah alih, dan jualan peranti.
Jumlah pelanggan jalur lebar tetap menyaksikan pertumbuhan yang memecahkan rekod selama tiga suku berturut-turut pada 18.8 peratus daripada 2.2 juta pada akhir suku ketiga 2020 kepada 2.6 juta pada akhir suku ketiga 2021.
Perolehan TM Wholesale menokok kepada RM627.5 juta berbanding RM599.2 juta yang disumbangkan perolehan lebih tinggi daripada data dan perkhidmatan telekomunikasi lain, manakala perolehan TM ONE merosot daripada RM962.1 juta kepada RM903.3 juta pada suku ketiga disebabkan penurunan minit penggunaan suara serta perniagaan daripada data dan projek pelanggan.
“Meskipun rangkaian tawaran Unifi kami menyokong pengguna, isi rumah dan perniagaan bersaiz kecil dan sederhana, TM One terus menjadi rakan kongsi perniagaan yang dipercayai bagi pelbagai industri menegak dan agensi kerajaan dalam mengautomasikan perniagaan dan operasi mereka melalui transformasi digital mereka sendiri,” katanya.
TM berkata ia akan terus menilai dan mengkaji semula impak 5G terhadap operasi perniagaan dan prestasi kewangannya pada masa depan.
Pelaksanaan 5G yang telah bermula di bawah model Rangkaian Pemborong Tunggal (SWN) dijangka mengubah industri telekomunikasi di Malaysia.