27 NOV:Seni persilatan Melayu terus diperkasakan diperingkat akar umbi.
Terbaharu, sebuah gelanggang persilatan Seni Silat Asbab dan Pusat Latihan Daerah (PLD) Pencak Silat Cawangan Padang Terap dibuka dengan rasminya oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Padang Kerasak di Padang Terap hari ini.
Dalam ucapannya Mahdzir berkata, ilmu persilatan Melayu diyakini akan terus subur dan kekal menjadi teras jati diri masyarakat Melayu di negara ini.
“Seni persilatan merupakan seni warisan kita turun temurun yang masih kekal dalam jiwa kita zaman berzaman.
Anak-anak muda yang menceburi ilmu persilatan, perlu juga mempunyai ilmu pengetahuan dan pendidikan dalam bidang lain, sekaligus menjadikan diri kita seorang yang lengkap dengan pelbagai ilmu kemahiran dan profesional.”
Tambah Mahdzir, beliau turut menyokong usaha penggiat seni persilatan di negara ini yang meletakkan misi dan visi untuk mentransformasikan seni bela diri daripada adat menjadi ibadat kepada komuniti persilatan.
“Sebab itu ketika saya menjadi Menteri Pendidikan, kita mewujudkan Sekolah Asrama Penuh Ulul Albab bagi melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai kemahiran dan ilmu pengetahuan dalam aspek duniawi dan ukhrawi supaya kita ada modal insan yang seimbang antara kehidupan dunia dan akhirat.
Ia juga sekaligus dapat meningkat nilai diri kepada pelajar itu sendiri, akan memudahkan pelajar-pelajar untuk menceburi pelbagai bidang bukan sahaja akademik tetapi juga bidang yang berkait dengan keagamaan,” ujar Mahdzir.
Pada majlis itu, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap turut dianugerahkan Sandang Kehormat Persatuan Seni Silat Asbab Kedah yang disampaikan oleh Pengarah Akademi Seni Beladiri Abjad, Asbab Malaysia, Nazri Kamaludin.
Selain itu, sejumlah 30 Gurulatih serta ahli persilatan dari seluruh negara turut dianugerahkan Benkung selepas berjaya menamatkan kursus di Pusat Latihan Akademi Seni Beladiri ABJAD Kubang Rotan.