28 NOV: Hamas mahu Israel bertanggungjawab sepenuhnya jika rancangan Presiden Israel, Isaac Herzog, untuk melawat tapak suci di Tebing Barat ketika perayaan Hanukkah Yahudi dilaksanakan.
Ia susulan pejabat Presiden Israel memberitahu, Herzog dijadualkan mengambil bahagian dalam upacara menyalakan lilin di Gua Patriarchs di Hebron, hari ini yang boleh mendatangkan perkara buruk.
Tapak suci itu, yang menempatkan Masjid Ibrahimi bagi penganut Islam beribadah sementara orang Yahudi pula, Gua Patriarch, menjadi lokasi dihormati oleh kedua-dua agama berkenaan.
Hebron, bandar terbesar di Tebing Barat, menempatkan kira-kira 1,000 penduduk Yahudi yang tinggal di bawah perlindungan tentera Israel sementara lebih 200,000 lagi adalah rakyat Palestin.
Pegawai kanan Hamas, Ismail Radwan dalam satu kenyataan menyifatkan upacara menyalakan lilin itu sebagai satu provokasi terhadap perasaan rakyat Palestin dan jelas mencemarkan kesucian masjid serta menggesa rakyat Palestin membalas tindakan provokatif itu.
Hebron menyaksikan siri pergolakan berpanjangan dan tempat suci yang dipercayai tapak pengebumian tokoh al-kitab termasuk Ibrahim, sering menjadi titik ketegangan.
Pada 1994, peneroka Israel, Baruch Goldstein membunuh 29 penganut Islam Palestin di tapak suci berkenaan sebelum maut dipukul pengunjung lain.
Semalam juga, Britain secara rasmi menamakan Hamas sebagai pertubuhan pengganas.