PM adakan lawatan rasmi ke Singapura esok
28 NOV: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dijangka mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, dalam rangka lawatan rasmi pertamanya selama sehari ke republik itu, esok.
Kementerian Luar berkata, Perdana Menteri diiringi Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad bersama pegawai kerajaan dari kementerian dan agensi berkaitan.
“Lawatan ini bagi memenuhi jemputan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan bersempena pelaksanaan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) antara Malaysia dan Singapura melalui udara dan sempadan darat, yang berkuat kuasa esok.
“Perdana Menteri dijadual akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura, Halimah Yacob selain perjumpaan dengan Hsien Loong.
“Kedua-dua pemimpin akan membincangkan kerjasama dua hala Malaysia dan Singapura, termasuk meneroka peluang kerjasama baharu terutama dalam usaha pemulihan daripada kesan pandemik COVID-19,” kata kementerian dalam kenyataan, hari ini
Kenyataan itu berkata, kedua-dua Perdana Menteri akan turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang membabitkan kepentingan bersama.
“Lawatan rasmi ini akan dilaksanakan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia dan Republik Singapura,” kata kenyataan itu.
Minggu lalu, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, dilaporkan mengumumkan VTL darat antara Malaysia dan Singapura akan dilaksanakan serentak dengan VTL udara pada 29 November ini.
Hasni dilaporkan berkata, ia hasil perbincangan yang memutuskan perjalanan darat hanya untuk pemegang pas jangka panjang.