28 NOV: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Pelan Tindakan Induk Perpaduan Negara dan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 buat Keluarga Malaysia.
Ismail Sabri berkata ia adalah satu pelan yang paling signifikan kepada Kementerian Perpaduan Negara dalam menerajui agenda perpaduan nasional.
Beliau berkata pelan tersebut yang merakyatkan perpaduan ini akan memberi tumpuan terhadap empat dimensi, atau nama ringkasnya KAMI iaitu K bermakna KARIB; A (AKSESIBILITI); M (MAJMUK) dan I (INKLUSIVITI).
“Pelan ini dirangka berdasarkan satu kajian yang melibatkan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara menjurus kepelbagaian budaya dan agama supaya dapat menepis sebarang usaha yang mencemarkan perpaduan di negara ini,” katanya ketika berucap melancarkan pelan induk di ibu negara hari ini.
Pada majlis sama Perdana Menteri juga melancarkan Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 yang merupakan usaha untuk mengembalikan semula impian asal tentang perpaduan yang tersurat dalam lima prinsip Rukun Negara.
Beliau berkata Rukun Negara merupakan dokumen asas tatacara kehidupan bermasyarakat warga Malaysia yang telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 bertujuan membina perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum berlandaskan kesepaduan dan keharmonian antara kaum menerusi prinsip-prinsip yang terkandung dalamnya.
“Justeru, Kementerian Perpaduan Negara yang diterajui Menterinya, Datuk Seri Halimah Mohamed Sadique, akan memandu Keluarga Malaysia untuk memahami makna perpaduan dalam skop yang lebih luas dan inkusif dengan menjadikan Rukun Negara sebagai teras utama.
“Ini bukanlah sebuah pelan yang tertulis di atas kertas semata-mata kerana pelan tindakan ini merupakan satu modus operandi yang terancang berlandaskan lima strategi penting,” katanya.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata Teras Strategik 1: Membentuk Masyarakat yang Menghargai dan Mengamalkan Perpaduan; Teras Strategik 2: Memelihara Sistem Demokrasi Raja Berperlembagaan; Teras Strategik 3: Memperkasakan Sosio-Ekonomi Yang Adil dan Saksama.
Beliau berkata Teras Strategik 4: Menjamin Keterbukaan dan Toleransi Terhadap Perbezaan Agama dan Tradisi Kebudayaan dan Teras Strategik 5: Membina Masyarakat Progresif Melalui Sains, Teknologi dan Inovasi.
“Pelan ini dirangka sesuai dengan program mengikut keupayaan institusi di peringkat pusat, negeri dan akar umbi. Ini mampu memanfaatkan Keluarga merangkumi program pendidikan, ekonomi, kebajikan, sosiobudaya, sains, teknologi dan inovasi,” katanya.
Berikutan itu, Perdana Menteri berkata kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) selaku agensi peneraju dan pelaksana dalam pelan tindakan ini untuk duduk bersama sebagai sebuah keluarga besar.
“Kerjasama semua pihak mampu mencorakkan kehidupan yang lebih tersusun, terangkum, bersama dan sentiasa bersyukur di atas apa yang kita perolehi seharian untuk membantuk kesepaduan dan keharmonian yang bersifat nasional tanpa mengira kaum dan agama.
“Itulah harapan yang saya inginkan apabila berbicara tentang perpaduan semasa melancarkan Keluarga Malaysia di Sarawak pada pada 23 Oktober yang lalu,” katanya.