28 NOV: Polis akan melakukan siasatan secara menyeluruh berhubung insiden sebuah helikopter yang melakukan penerbangan rendah ketika perarakan pengebumian mayat di Little India Ipoh semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, satu laporan polis telah dibuat dan siasatan dijalankan selepas sebuah video perarakan pengebumian tular di laman sosial sama ada mereka mempunyai permit perarakan.
Rakaman video itu memaparkan sebuah helikopter terbang rendah dan menaburkan bunga mengiringi perarakan itu.
“Kita akan lihat sama ada mereka mempunyai kebenaran untuk membuat perarakan. Mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebarang aktiviti perarakan adalah tidak dibenarkan.
“Yang kedua adakah mereka mendapat kebenaran daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk melakukan penerbangan rendah. Berdasarkan video itu, ia terbang terlampau rendah,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hari ini.
Mengulas lanjut, Mior Faridalathrash berkata, tindakan akan diambil sekiranya wujud kesalahan dalam perarakan tersebut.
“Kita akan siasat dari pelbagai sudut untuk kita lihat apa-apa kesalahan yang wujud termasuk pelanggaran SOP.
“Siasatan sedang dijalankan dan apabila siasatan selesai, kita akan ambil tindakan sewajarnya,” jelasnya.