28 NOV: Kerajaan Persekutuan perlu menubuhkan satu jawatankuasa bebas untuk mengkaji dan meneliti isu tuntutan royalti petroleum oleh kerajaan Kelantan.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tindakan berkenaan perlu bagi mencari titik persamaan dan penyelesaian berhubung tuntutan berkenaan.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata penubuhan jawatankuasa bebas berkenaan perlu dipersetujui kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan negeri dan juga kerajaan Persekutuan.
“Saya cadang mungkin ada nampak tiada persamaan, mungkin satu jawatankuasa bebas yang dipersetujui oleh kerajaan negeri dan Persekutuan untuk kita mengesahkan beberapa perkara, pertamanya faktor jarak (pelantar).
“Fakta kedua pula jumlah pengeluaran dan soal perjanjian…kita akan tengok jalan penyelesaian dan cuba atasi,” kata Tuan Ibrahim ketika ditemui pada Lawatan Kerja Menteri Alam Sekitar dan Air di Projek Penstabilan Tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi di Kelantan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden parti Amanah, Mohamad Sabu yang mempersoalkan keberadaan PAS dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang yang dilihat tidak dapat membantu menyelesaikan isu tuntutan itu.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, isu berkenaan perlu diselesaikan secara menang-menang antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan selepas sekian lama berlarutan.
Tuan Ibrahim berkata, perkara berkenaan juga akan dibincangkan kembali bersama Kementerian Kewangan dan juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob.
Kerajaan Kelantan dalam satu kenyataan semalam memohon penjelasan daripada kerajaan Persekutuan berhubung kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menjelaskan Petronas tidak akan membuat pembayaran royalti kepada mana mana negeri termasuk Kelantan.
Terdahulu, Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Tengku Zafrul berkata, tindakan itu disebabkan kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri itu.