29 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak kemungkinan akan mewajibkan kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun di negara ini menerima suntikan vaksin COVID-19.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pemerhatian kerajaan mendapati, pembukaan sektor sosial menyebabkan kanak-kanak lingkungan umur berkenaan turut terdedah kepada COVID-19, tanpa sebarang perlindungan.
“Kita nak lindungi anak-anak kita, seperti mana kita jalankan vaksinasi pada remaja lingkungan 12 – 17 yang kini capai pada tahap 85.9 peratus.
“Apabila kita benarkan pergerakan, kita bawa anak kita ke Langkawi, kenduri kahwin, mereka ini tak dilindungi, berdasarkan sains. Jadi kerajaan hari ini akan berusaha mengadakan vaksinasi untuk kanak-kanak berusia antara 5 hingga 11 tahun,” katanya ketika sesi jawab lisan di Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PH-Kuala Langat, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang ingin mengetahui tahap pertimbangan kerajaan untuk vaksinasi kanak-kanak antara 5 hingga 11 tahun.
Terdahulu, Pada 29 Oktober lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, Malaysia akan meneruskan pemerolehan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun.
Khairy berkata, pilihan vaksin lain seperti vaksin Sinovac juga akan diberi pertimbangan untuk pemberian vaksin terhadap golongan tersebut.