29 Nov. – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan RM1.25 bilion untuk pembangunan Wilayah Sabah tahun hadapan iaitu meningkat 6.25 peratus berbanding tahun ini.
Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, KPLB memfokuskan kepada empat pembangunan prasarana di Sabah iaitu Jalan Luar Bandar, Bekalan Air Luar Bandar, Bekalan Elektrik Luar Bandar dan Baik Pulih serta Bina Baru Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
“Saya ingin memaklumkan bahawa kelulusan bajet pembangunan prasarana untuk negeri Sabah tahun 2022 adalah RM1.25 bilion dan semua sekali 248 projek yang insya-Allah akan dilaksanakan pada tahun 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas simbolik pelancaran Pasukan Bergerak Vaksinasi KPLB/MARA Liner/PKD Papar Wheel RAVO di Papar hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Mohd Tamin Zainal, ADUN Kawang, Datuk Ghulam Haidar @ Yusuf Khan Bahdar dan Pengarah KPLB Sabah, Johar Julasbi.
Ditanya mengenai belanja peruntukan tahun 2021 bagi Wilayah Sabah, Mahdzir berkata sebahagian peruntukan itu tidak dapat dibelanjakan akibat pandemik COVID-19.
Bagaimanapun peruntukan itu akan digunakan untuk menyambung dan meneruskan projek-projek pembangunan yang tergendala itu pada tahun hadapan.
“Bajet 2021 itu sedang digunakan tetapi ada juga projek yang tidak dapat dilaksanakan penuh kerana pandemik COVID-19, jadi projek itu akan bersambung pada tahun 2022.
“Tidak ada projek yang akan dihentikan, semuanya akan disambung semula pada tahun 2022, cuma projek yang baharu akan dikira sebagai projek baharu tahun 2022,” katanya.