30 NOV: Kerajaan akan melaksanakan program pembasmian kemiskinan menggunakan pendekatan keseluruhan negara, mulai Mac tahun depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata perkara itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai pendekatan proaktif menangani masalah kemiskinan tegar dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).
Mustapa berkata pendekatan baharu ini akan melibatkan penyertaan menyeluruh dan bersepadu daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri, sektor swasta, universiti, syarikat berkaitan kerajaan serta pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan organisasi berasaskan komuniti (CBO).
“Di bawah RMKe-12, strategi menyeluruh meliputi projek dan program ekonomi, keusahawanan, pendidikan dan kesihatan akan dilaksanakan bagi menghapuskan kemiskinan tegar pada tahun 2025.
“Pembasmian kemiskinan tegar akan dilaksanakan tanpa mengira jantina, etnik, status sosioekonomi dan lokasi, sama ada bandar atau luar bandar,” katanya dalam sesi pertanyaan Menteri di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen PH-Tanjung Malim, Chang Ling Kang minta Perdana Menteri menyatakan strategi dan pelan tindakan yang diambil oleh kerajaan dalam mencapai sasaran miskin tegar sifar pada tahun 2025, seperti yang disebut dalam RMKe-12.
Untuk rekod Kemiskinan tegar adalah isi rumah yang berpendapatan RM1,169 sebulan dan ke bawah, berdasarkan kepada kos pembelian makanan asas, bagi isi rumah dengan empat ahli keluarga.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata untuk menjamin pelaksanaan yang lebih berfokus, unit kemiskinan yang khusus dicadangkan ditubuhkan di peringkat Persekutuan, negeri dan daerah.
Berikutan itu Unit Kemiskinan telahpun ditubuhkan di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri pada 8 November 2021. Beberapa buah negeri telah mengambil inisiatif menubuhkan Unit Kemiskinan di peringkat negeri dan daerah.
“Bagi melaksanakan program ini, pangkalan data kemiskinan yang bersepadu dan berpusat iaitu eKasih akan digunakan. Pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU, JPM) sedang membuat pemutihan data ini.
“Usaha-usaha pembasmian kemiskinan tegar ini akan diterajui bersama oleh EPU dan ICU, JPM serta dilaksana secara berfasa,” katanya.
Antara cadangan jadual pelaksanaan bagi Fasa Pertama adalah seperti berikut:
• Pertengahan bulan Disember 2021: Senarai kira-kira 50 lokaliti di seluruh negara akan dikenal pasti oleh ICU;
• Penghujung tahun 2021: Senarai lokaliti akan diverifikasi dengan kerjasama kerajaan negeri;
• Januari 2022: Program dan strategi akan dirangka berdasarkan keperluan mengikut kesesuaian lokaliti masing-masing;
• Februari 2022: Pembentangan strategi dan program pembasmian kemiskinan tegar Fasa Pertama kepada Jemaah Menteri; dan
• Mac 2022: Pelaksanaan program bagi Fasa Pertama 50 lokaliti di seluruh negara akan bermula.
Katanya, pelaksanaan pendekatan baharu ini akan dipantau setiap 3 bulan bagi memastikan intervensi yang berkesan sekiranya pencapaiannya kurang memuaskan.
” Selain daripada 50 lokaliti yang terpilih ini, program sedia ada bagi kelompok dan keluarga miskin lain di seluruh negara akan diteruskan.
“Dengan pendekatan secara keseluruhan negara (whole-of-nation approach) dan holistik, Kerajaan beriltizam agar miskin tegar dihapuskan pada tahun 2025 seperti yang disasarkan dalam RMKe-12,” katanya.