30 NOV: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mencatatkan kerugian bersih RM319.71 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2021.
Bagaimanapun, kerugian itu berkurangan kepada RM182.31 juta berbanding dalam tempoh yang sama pada tahun 2020.
Perolehan syarikat itu naik kepada RM461.33 juta daripada RM396.69 juta sebelumnya, didorong oleh jumlah penumpang yang lebih tinggi untuk operasi di Turki.
“Operasi di Turki menunjukkan ia akan kembali normal apabila trafik penumpang meningkat daripada 4.9 juta kepada 8.9 juta penumpang.
“Trafik penumpang untuk operasi di Malaysia menguncup sebanyak 77.8 peratus kepada 1.0 juta penumpang berbanding 4.5 juta penumpang pada suku yang sama tahun lalu, kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan pergerakan penuh dilaksanakan semula mulai 1 Jun 2021.
“Secara keseluruhan, ia mencatatkan penurunan perolehan sebanyak 40.3 peratus kepada RM151.3 juta,” kata pengendali lapangan terbang itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.
Ia juga berkata, rangkaian lapangan terbang MAHB merekodkan 21.9 juta penumpang dari 1 Januari 2021 hingga 30 September 2021, berkurangan sebanyak 39.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Dalam tempoh yang sama, trafik kumpulan untuk penumpang antarabangsa dan domestik masing-masing merosot sebanyak 51.1 peratus dan 33.0 peratus.
Seiring dengan itu, pergerakan pesawat kumpulan itu susut sebanyak 32.2 peratus dengan pergerakan pesawat antarabangsa dan domestik masing-masing turun sebanyak 28.6 peratus dan 33.8 peratus.