30 NOV: Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperuntukkan RM40 juta bagi membantu 500 usahawan Bumiputera luar bandar di Sabah.
Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, jumlah tersebut akan disalurkan melalui MARA daerah di wilayah itu.
“Tumpuan kita adalah bagaimana memperkukuhkan usahawan-usahawan Bumiputera luar bandar melalui pejabat-pejabat daerah MARA.
“MARA juga ada bazar, lot-lot kedai dan Arked MARA yang diberikan sewa kepada usahawan-usahawan Bumiputera,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Kondominium Signal Hill yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di Kota Kinabalu hari ini.
Turut hadir, Pengerusi MARA, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.
Jelas Mahdzir, selain aspek pendidikan, MARA dan KPLB juga memberi penekanan khusus kepada agenda pemerkasaan usahawan Bumiputera di luar bandar.
“MARA adalah satu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang sangat mengambil inisiatif kepada program agenda keusahawanan bumiputera selain daripada pendidikan TVET,” kata Mahdzir.