30 NOV: Kerajaan berkemungkinan akan meneruskan kemudahan subsidi bagi ibadah haji 2022.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Idris Ahmad berkata, pemberian subsidi kepada umum mungkin diteruskan seperti sebelum ini.
“Setakat ini begitu (meneruskan subsidi haji kepada muassasah Tabung Haji).
“Tetapi keputusan muktamad belum bincang. Insya-Allah Tabung Haji (TH) akan beri penerangan kepada saya dan kemudian akan bawa kepada jemaah menteri,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan 228 jemaah Umrah pertama AMAL, Malaysia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Beliau berkata, pada masa ini kos sebenar pelaksanaan ibadah haji masih belum diputuskan dan perkara itu akan dibawa ke dalam mesyuarat Kabinet.
Sebelum ini Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mencadangkan Lembaga Tabung Haji (TH) memberi subsidi haji secara bersasar kepada individu yang layak sahaja.