30 NOV: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap usahawan yang gagal membayar pinjaman kepada agensi di bawah kementerian itu, buat masa ini.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata beliau sudah memberi arahan mengenai perkara itu kepada agensi yang terbabit berikutan golongan usahawan kini dalam proses membina semula perniagaan mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
“Tidak ada tindakan undang-undang yang akan diambil. Ini bukan masanya kita nak ambil tindakan terhadap usahawan, yang akan menyebabkan mereka bankrap atau gulung tikar.
“Tunggu dulu. Selepas enam bulan nanti, baru tindakan ini boleh kita ambil kerana kita faham masalah yang dihadapi rakyat.
“MEDAC dan agensi di bawahnya akan sedaya upaya memastikan usahawan yang sedang menghadapi masalah ini dapat meneruskan perniagaan kerana kita sedang dalam fasa pembangunan ekonomi dan mahu membantu usahawan ini,” katanya ketika sesi penggulungan Bajet 2022 Peringkat Jawatankuasa bagi kementeriannya di Parlimen, hari ini.
Mengulas lanjut, Noh berkata beliau juga sedang berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung pertindihan kuasa kedua-dua kementerian itu dalam mengawal selia Perbadanan Nasional Bhd (PERNAS).
“Pentadbiran PERNAS di bawah MEDAC tapi akta di bawah KPDNHEP. Kita akan cuba selaraskan, sama ada ia akan berada di bawah kita atau KPDNHEP.
“Saya tidak kisah jika ia diambil alih KPDNHEP asalkan ia memudahkan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Noh berkata pihaknya kini di peringkat akhir penubuhan Universiti Keusahawanan dan Koperasi Malaysia dengan selepas semua syarat ditetapkan Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) sudah dipenuhi.
“Kita akan cuba usahakan secepat mungkin. Mungkin ia akan ditubuhkan sebelum Julai atau paling cepat, pada Mac ini,” katanya.