1 DIS: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyasarkan untuk merekrut lebih daripada 10,000 orang atau 303 platun dalam Pelan Strategik 2021-2025 APM.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, anggota-anggota baharu itu akan menjalani latihan bermula daripada modul asas hingga ke peringkat kejurulatihan.
“Selain, pengambilan baharu itu bagi memenuhi keperluan dan kopentensi, kecekapan para petugas APM, anggota sedia ada telah pun menjalani kesemua modul kursus kemahiran berkenaan.
“Mereka juga akan melalui fasa latihan kursus secara berskala di lokaliti masing-masing atau di institut latihan APM,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) yang menanyakan apakah strategi kerajaan dalam memastikan kekuatan anggota APM sebagai petugas memenuhi keperluan pengurusan bencana bagi fasa sebelum dan semasa sehinggalah ke persiapan akan datang.
Sebelum itu menjawab soalan asal Abdul Latiff berkaitan inisiatif pihak Kerajaan untuk memastikan APM dilengkapi infrastruktur dan fasiliti lengkap bagi menjadikan APM lebih bersiap siaga dalam pengurusan bencana seperti banjir di setiap peringkat.
Beliau berkata Kerajaan memandang serius keperluan APM dalam pengurusan bencana dan khidmat kemanusiaan bagi melindungi nyawa serta harta benda orang ramai.
Susulan itu, tambahnya Kerajaan sedang mempertimbangkan beberapa inisiatif dengan berpandukan kepada matlamat dan strategi yang telah digariskan oleh APM dalam Pelan Strategik 2021-2025 APM dan di bawah Rolling Plan 2 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) tahun 2022.
“Memastikan APM berada di setiap daerah seluruh negara dengan pembangunan premis bangunan milikan sendiri secara berperingkat.
“Selain itu, perolehan aset di darat jenis kenderaan pacuan empat roda, aset di udara jenis unmanned aerial vehicle (UAV) dan aset di air jenis sonar system (termasuk di Wilayah Sabah dan Sarawak) bagi khidmat pantauan dan carilamat;
“Perolehan kelengkapan perlindungan diri (PPE) bagi anggota dan pegawai APM untuk mendepani situasi bencana, krisis mahupun kecemasan,” katanya.
APM juga katanya, menyasarkan perolehan kemudahan latihan dan fasiliti simulator secara berperingkat di 4 buah Institusi Latihan Pertahanan Awam (ILPA); penyelenggaraan dan perolehan baharu peranti serta beberapa kelengkapan untuk Sistem Amaran Awam atau Public Warning System (PWS) APM di seluruh negara
Turut dirancang, tambahnya pembangunan berfasa sistem pengurusan bencana secara digital kepada rakyat yang dikenali sebagai TRAC APM.