1 DIS: Kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan Jalan diminta untuk mengkaji kadar yuran pembelajaran dan latihan memandu yang berbeza-beza di antara institut memandu.
Ahli Parlimen Sabak Bernam (BERSATU) Datuk Fasiah Mohd Fakeh berkata pada masa kini, institut latihan memandu mengenakan bayaran sebanyak RM850 dan RM1,100 bagi lesen DA.
“Terdapat juga institut memandu yang mengenakan bayaran lebih tinggi sehingga RM1,300 bagi lesen D dan RM1,500 bagi lesen DA.
“Saya ingin mendapatkan penjelasan adakah kerajaan ada menetapkan jumlah bayaran tertentu ataupun kadar bayaran maksimum pada institut memandu bagi mengikuti latihan pemanduan untuk lesen kereta.
“Kenapakah berlaku kadar bayara yang berbeza. Adakah kerajaan bercadang menyeragamkan kadar bayaran yang dikenakan supaya lebih munasabah,” katanya ketika membahaskan bajet Kementerian Pengangkutan di Parlimen hari ini.
Beliau turut membangkitkan isu kemalangan yang membabitkan pemandu mabuk dan mahu tindakan lebih keras diambil.
“Saya mahu tahu bilangan kes kemalangan yang melibatkan pemandu mabuk dan berbahaya termasuk yang menyebabkan kematian tempoh lima tahun iaitu bermula 2017.
“Adakah kerajaan bercadang untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 khususnya Seksyen 41 (1) dan Seksyen 44 (1) bagi memastikan hukuman yang lebih adil dan lebih berat kepada mereka yang cuai ini,” katanya.