1 DIS : Isu projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, antara yang bakal dibincangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong, Jumaat ini.
Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong, berkata perkara tersebut termasuk pembentangan keputusan hasil pertemuan empat mata antara Ismail dan Lee berhubung isu tersebut.
“Selepas ini apakah hala tuju akan ditentukan Perdana Menteri, dan hasil perbincangan empat mata akan dimaklumkan,” kata Wee ketika menggulung Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat.
Sementara itu, Wee menolak dakwaan wakil pembangkang konon bekas Perdana Menteri Najib Razak turut mengikuti lawatan Perdana Menteri ke Singapura.
“Saya ikut rombongan Perdana Menteri ke Singapura baru-baru ini. Saya hairan ada YB pembangkang kata ada orang lain yang hadir. Yang hadir ialah empat orang – Perdana Menteri, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Mohamed Azmin Ali, Menteri Luar Saifuddin Abdullah dan saya. Lain-lain adalah ialah pegawai kerajaan.
“Saya jawab dengan jelas yang pergi empat orang, tiada YB Pekan. Saya tak tahu mana datang cerita yang YB kata orang lain pergi,” katanya sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berhubung perkara itu.
Kata Wee lagi, sehingga kini belum ada jangka waktu ditetapkan, cuma Perdana Menteri Malaysia dan Singapura masing-masing terbuka untuk meneliti semula pelaksanaan projek tersebut.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan, berhubung bila projek HSR akan dimulakan semula.
Presiden Singapura, Lee sebelum ini dilaporkan berkata, republik itu terbuka menerima cadangan baharu daripada Malaysia berkaitan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura walaupun kedua-dua negara telah bersetuju menamatkan projek berkenaan.
Lee berkata, Kementerian Pengangkutan kedua-dua negara akan membincangkan perkara itu dan Singapura berharap menerima butiran lebih terperinci daripada Malaysia.
Minggu lalu, Ismail mengadakan lawatan rasmi keduanya ke Singapura selepas mengangkat sumpah menerajui Putrajaya.