1 DIS : UMNO sedia bekerjasama dengan PKR dan parti Amanah sekiranya kedua-dua parti tersebut bersetuju untuk menamatkan kerjasama dengan parti DAP, demikian kata Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Nazri menegaskan, jika kerjasama tersebut memberi keuntungan kepada bangsa Melayu dan Islam, beliau akan menyokong usaha tersebut.
“Saya sokong jika apa-apa juga pertemuan dan kerjasama yang boleh menguntungkan Melayu dan Islam,termasuklah kalau sekiranya bukan terhad kepada Pas sahaja.
“Kalau ia kerjasama dengan Pakatan Harapan pun tiada masalah dan menguntungkan, tetapi pada saya dengan DAP tidak boleh, “katanya seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.
Bagaimanapun kata Nazri lagi, UMNO tidak boleh mengharapkan kelemahan pihak lawan untuk memenangkan parti.
“Kita tidak boleh harapkan sesuatu berlaku kepada lawan kita kalau nak menang. Kita kena rancang apa yang ada di depan kita.
“Tapi kalau mereka nak berpecah, bukan kita yang merancang untuk mereka berpecah, dan kalau berlaku perpecahan pun bukan atas perancangan kita.
“Kita kena merancang apa yang kita boleh buat, bukan mengharapkan orang belah sana berpecah atau apa sekalipun,”tegasnya.
Mingguan Malaysia minggu lalu melaporkan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan yang parti itu harus membuka ruang politik lebih luas berikutan tidak ikhlas yang berlaku dalam Muafakat Nasional (MN).
Kata Zahid, ia suatu pembaharuan perlu dibuat kerana realiti dan landskap politik telah berubah, maka UMNO perlu terus menjadi parti relevan yang diterajui orang Melayu.