2 DIS: Seramai 65 pelajar Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya positif COVID-19 dan kesemua mereka telah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, semalam.
Mereka dikatakan terdiri pelajar Tingkatan Satu dan Dua.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin, berkata baki pelajar masih ditempatkan di asrama menunggu ujian saringan COVID-19 dilakukan untuk mereka.
Beliau melakukan tinjauan ke sekolah berkenaan malam tadi berkata, mereka yang menjadi kontak rapat juga dikuarantin.
Terdahulu tular mengenai jangkitan COVID-19 dalam kalangan pelajar sekolah itu hingga menimbulkan kebimbangan ibu bapa.
Sementara itu, Radzi dalam dalam hantaran video terbaharu di Facebooknya memberitahu kementerian menerima maklumat jangkitan kes COVID-19 bermula daripada seorang guru sebelum menjangkiti seorang lagi guru dan enam pelajar lain yang dipercayai kontak rapat.
“Enam pelajar yang positif ini ditempatkan di sekolah dan dipantau pihak sekolah. Seramai 121 kontak rapat telah dipotong gelang hari ini dan mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya.
Mengulas lebih lanjut, Radzi berkata, dalam usaha Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) mengurangkan jumlah murid di asrama, PKD telah melaksanakan ujian saringan kontak rapat ke atas lebih 200 orang pelajar di sekolah itu hari ini.
“Daripada jumlah itu, seramai 65 daripada mereka disahkan positif COVID-19 dan mereka dibawa ke MAEPS Serdang untuk pemantauan.