2 DIS: Kementerian Luar Bandar merancang untuk mewujudkan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Lembah Klang bagi menampung permohonan yang tinggi di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah berkata, permohonan pelajar dari Lembah Klang adalah merangkumi 50 peratus daripada pemohonan keseluruhan.
“Perancangan dalam jangka masa panjang adalah untuk mewujudkan MRSM di kawasan lembah Klang bagi menampung permohonan yang tinggi dari Lembah Klang yang merangkumi 50 peratus daripada keseluruhan permohonan semasa,” katanya dalam sesi jawapan lisan di Parlimen hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Natrah Ismail (PKR-Sekijang) berhubung jumlah MRSM yang sedia ada di seluruh negara dan perancangan pihak Kementerian dalam mewujudkan lebih banyak MRSM baharu di seluruh negara bagi menampung keperluan pelajar-pelajar.
Jelasnya, ketika ini terdapat sebanyak 55 buah MRSM di seluruh negara termasuk dua yang baru memulakan operasi pada tahun ini iaitu MRSM Bera di Pahang dan MRSM Bagan Datoh, Perak.
Katanya lagi, kapasiti pelajar bagi keseluruhan MRSM ialah 42,149 orang.
“Selain itu, sebanyak tujuh MRSM baharu telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
“Tiga buah dalam pembinaan dan selebihnya dalam peringkat prapelaksanaan,” katanya yang menyatakan menjelang 2025, dijangka sebanyak 62 buah MRSM akan beroperasi di seluruh negara dengan kapasiti pelajar 46,539 orang,” katanya.